TENOM: Sabah bakal memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) berhubung pembangunan sektor pertanian menerusi lawatan ke China bermula esok bagi memperkukuh keterjaminan makanan negeri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, beliau akan mengetuai lawatan berkenaan yang merangkumi kerjasama dalam industri tanaman, penternakan dan penggunaan teknologi berasaskan mekanisasi.
Katanya, penggunaan mesin dan teknologi bersesuaian penting bagi menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian, selain meningkatkan produktiviti industri berkenaan.
Beliau berkata, kementeriannya turut meneruskan kerjasama antarabangsa bagi memastikan bekalan makanan, khususnya daging, sentiasa mencukupi, berkualiti dan memenuhi piawaian halal.
Sementara itu, beliau turut dijadualkan mengadakan lawatan ke Brazil pada November ini bagi meneroka peluang mendapatkan bekalan daging dan ayam pada harga lebih kompetitif.
Katanya, Brazil antara pengeluar utama produk makanan berasaskan ternakan dunia dan kerjasama itu berpotensi membuka sumber bekalan alternatif kepada Sabah.
“Bagaimanapun, usaha memperkukuh industri penternakan tempatan tetap menjadi keutamaan, selain mendapatkan bekalan luar bagi memenuhi permintaan rakyat.
“Pada masa sama, kita memastikan semua bekalan import memenuhi aspek keselamatan makanan, kebersihan, pensijilan halal dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian mural Astaka Tenom, di sini, semalam.
Penghasilan mural berkenaan merupakan sebahagian usaha menceriakan kawasan awam, merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan tarikan pelancongan daerah itu.
Beliau berkata, kawasan berkenaan sebelum ini kurang dimanfaatkan, namun kini diberi nafas baharu menerusi penglibatan anak muda tempatan dalam menghasilkan mural dan menghidupkan aktiviti berkaitan produk kopi serta tarikan setempat.
“Projek mural ketiga di Tenom itu diharap dapat menarik lebih ramai pelancong, sekali gus membuka peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
