KOTA KINABALU: Pihak pembangkang diingatkan supaya tidak memanipulasi fakta dan angka berhubung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sehingga menimbulkan persepsi yang tidak tepat dalam kalangan masyarakat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, teguran itu susulan beberapa kenyataan di media sosial berkaitan BKNS, termasuk dakwaan pembangkang yang menurutnya dilihat cuba memanipulasi fakta.
Beliau berkata, kerajaan negeri ketika itu menyediakan peruntukan BKNS sebanyak RM50 juta pada 2019 dengan 673 pelajar menerima tajaan.
Katanya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meningkatkan peruntukan BKNS kepada RM161 juta pada 2026, manakala jumlah penerima tajaan bagi tahun ini meningkat kepada 5,159 orang.
“Jumlah keseluruhan pelajar dengan tajaan yang masih aktif kini mencecah 16,207 orang.
“Kita tidak menafikan bahawa masih terdapat pelajar yang belum berjaya mendapat biasiswa.
“Perkara ini akan terus diberi perhatian dan kerajaan negeri komited untuk menambah baik serta meningkatkan peruntukan pendidikan pada tahun-tahun akan datang selaras dengan pertambahan hasil negeri dan kemampuan kewangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul berkata, selain BKNS, pelajar Sabah turut berpeluang mendapatkan bantuan pendidikan secara sekali bayar (one off) menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), inisiatif yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membantu lebih ramai anak Sabah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, perbezaan pandangan dan teguran berhubung pendidikan anak Sabah boleh dikemukakan dengan perbahasan dibuat berasaskan fakta dan angka yang tepat.
“Pendidikan anak Sabah bukan gelanggang persepsi politik. Ia adalah tanggungjawab bersama dan pelaburan untuk masa depan negeri kita.
“Kerajaan negeri yang diterajui GRS sudah memperlihat momentum positif bagi memperluas akses pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
