KLUANG: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Anggerik Kahang Barat, di sini, pada 9 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang bekerja di sebuah kilang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin bin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton yang dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun, sebuah motosikal Yamaha ditunggang mangsa serta sebuah kereta Toyota dipandu lelaki berusia 45 tahun.
Menurutnya, kereta Proton berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan ketika dalam perjalanan dari arah Jalan Padang Tembak menghala ke Gunung Berlumut.
Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan melanggar kereta berkenaan.
Sebuah lagi kereta Toyota yang berada di belakang motosikal terbabit turut tidak sempat berhenti sebelum melanggar bahagian belakang kereta Proton berkenaan.
Beliau berkata, pemandu kereta Proton tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu Toyota bersama dua penumpangnya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang tiga tahun dari tarikh sabitan.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Kluang menerusi talian 07-778 4222, hotline 07-776 6822 atau talian terus 07-778 4256.-DAKWAT RAKYAT POST
