KUALA LUMPUR, 12 November 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sebanyak 112 sindiket penipuan panggilan atau call centre menerusi pelaksanaan Op Magpie 01/2026 yang dijalankan di seluruh negara pada 19 hingga 31 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato’ Rusdi Mohd Isa berkata, operasi bersepadu itu mencatatkan sebanyak 153 serbuan, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 100 serbuan yang ditetapkan.
Beliau berkata, sepanjang operasi berkenaan, seramai 932 individu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan 112 sindiket terbabit. Selain itu, sebanyak 650 pemeriksaan premis turut dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penipuan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, JSJK turut berjaya melumpuhkan beberapa kumpulan penipuan menerusi tindakan hasil risikan dan operasi bersepadu di beberapa lokasi.
Di Bentong, Pahang, seramai 14 individu diberkas dalam serbuan di sebuah premis chalet yang disyaki dijadikan pusat kegiatan sindiket penipuan dengan menyamar sebagai anggota Polis Taiwan.
Sementara itu, di Seri Kembangan, Selangor, sebanyak tiga serbuan berasingan membawa kepada kejayaan membongkar tiga sindiket penipuan panggilan dengan penahanan 61 individu.
Hasil siasatan awal mendapati dua daripada sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam penipuan tawaran pekerjaan sambilan palsu secara dalam talian, manakala satu lagi kumpulan menjalankan kegiatan penipuan telefon dengan menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
JSJK menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap semua pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah berkenaan, termasuk operator, penyelia, pengurus kewangan, penyedia infrastruktur, fasilitator serta individu yang bertindak sebagai dalang utama sindiket.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon, mesej atau tawaran yang mencurigakan.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mendedahkan sebarang kod pengesahan OTP, TAC atau maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali serta membuat semakan menerusi Semak Mule PDRM sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Sekiranya menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
PDRM menerusi JSJK menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras kegiatan penipuan serta mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terbabit dalam sindiket jenayah komersial. – DAKWAT RAKYAT POST
