KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun mendapat sokongan Timbalan Pengerusi Majlis Belia Pantai Barat Utara, Datu Muhammad Farid Liman yang menyifatkan langkah itu bersesuaian dengan keadaan sosioekonomi serta keperluan pembangunan golongan belia di negeri ini.
Beliau berkata, keputusan yang diumumkan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan itu mengambil kira cabaran serta keadaan semasa yang dihadapi golongan belia, khususnya di Sabah.
Menurut Farid, faktor geografi dan sosioekonomi negeri ini, terutama di kawasan luar bandar serta pedalaman, memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih bersesuaian bagi memastikan golongan belia mendapat peluang mencukupi dalam pendidikan, pekerjaan dan usaha mencapai kestabilan ekonomi.
Katanya, individu berusia antara 31 hingga 40 tahun masih mempunyai sumbangan besar terhadap pembangunan masyarakat kerana golongan itu memiliki pengalaman, kematangan serta jaringan sosial yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang.
Jelasnya, mereka berpotensi memainkan peranan sebagai usahawan, pembimbing dan pemimpin komuniti yang mampu membantu memperkukuh pembangunan masyarakat setempat.
Farid yang turut membahaskan usul berkaitan pembangunan Pusat Hub Keusahawanan Digital dan Agropreneur Belia pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sabah Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026, berkata usaha memperkasa belia perlu disertai penyediaan peluang ekonomi yang lebih luas dan menyeluruh.
Beliau berpandangan golongan belia tidak seharusnya hanya dilibatkan sebagai peserta program atau penerima sijil latihan, sebaliknya perlu diberikan sokongan berterusan merangkumi perkongsian ilmu, bimbingan, kemudahan, akses pembiayaan serta peluang pasaran.
Menurutnya, kemudahan berkenaan penting bagi membantu golongan belia membangunkan perniagaan sendiri, mengembangkan perusahaan dan seterusnya menjana sumber pendapatan yang lebih stabil.
Dalam masa sama, beliau berharap inisiatif pembangunan belia dapat diperluaskan sehingga ke kawasan luar bandar termasuk Kota Marudu, Kudat dan Pitas, selain memperkasakan fungsi persatuan belia di peringkat daerah serta komuniti.
Beliau turut mencadangkan supaya keputusan mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun diperincikan melalui dasar dan peruntukan perundangan negeri yang jelas, di samping memastikan penyelarasannya dengan kerangka perundangan di peringkat Persekutuan.
Mengulas lanjut, Farid berharap segala pandangan, perbincangan dan usul yang dikemukakan sepanjang persidangan MPBN dapat diberikan perhatian serius serta diterjemahkan kepada tindakan konkrit.
Katanya, setiap cadangan yang dibincangkan perlu disusuli pelaksanaan berkesan supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh golongan belia, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Beliau menegaskan pembangunan belia tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penetapan had umur, sebaliknya perlu memastikan setiap individu terus mempunyai peluang untuk meningkatkan keupayaan diri, membina kehidupan berdikari, memimpin masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
