KUCHING: Seramai 42 individu ditahan dalam tujuh serbuan terhadap pusat panggilan yang disyaki menjalankan penipuan dalam talian dengan menyasarkan mangsa di Jepun, China, Indonesia dan Austria.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata, serbuan di Bintulu, Kuching, Padawan, Miri dan Sibu itu dijalankan menerusi Ops Magpie 01/2026 yang diselaraskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula 19 hingga 31 Oktober lalu.
Katanya, tujuh premis yang diserbu di Sarawak terdiri daripada dua banglo, tiga rumah teres dan dua unit apartmen.
“Sindiket berkenaan beroperasi secara terancang dengan membahagikan tugas kepada beberapa unit, termasuk pemasaran, kewangan dan pusat panggilan.
“Kegiatan yang dikesan termasuk penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan mata wang kripto, tawaran permainan judi dalam talian yang tidak wujud dan pengurusan kewangan hasil penipuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, daripada 42 individu berusia antara 19 hingga 61 tahun yang ditahan, 36 ialah lelaki dan enam wanita.
“Mereka terdiri daripada 14 warga tempatan dan 28 warga asing, iaitu 18 warga China, lapan warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Taiwan dan Myanmar,” katanya.
Saifullizan berkata, pihaknya turut merampas barangan bernilai kira-kira RM229,500, termasuk 33 komputer riba, empat set komputer, 76 telefon bimbit, lima set peranti Unifi, satu set Starlink dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, 33 individu telah dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi dijadikan saksi pendakwaan.
“Daripada jumlah yang dituduh, 17 mengaku bersalah dan didenda antara RM500 hingga RM4,000 seorang,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah Lima turut merampas minuman keras dan rokok yang disyaki tidak dibayar cukai dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM9,643,952 dalam serbuan di sebuah jeti persendirian di Jalan Sungai Maaw, Sungai Batang Rajang, Sibu, kira-kira jam 8 pagi, 7 November lalu.
Katanya, pasukan yang menjalankan Ops Taring Pensura menemukan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an berhampiran sebuah kontena di jeti berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok manakala lelaki itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan tersebut.
“Lelaki terbabit ditahan dan barangan dirampas bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967. Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk siasatan lanjut,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
