MIRI: Polis berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan pencuri kabel yang dipercayai terbabit dalam enam kes kecurian di sekitar kawasan Batu Niah dengan anggaran kerugian mencecah RM148,500.
Kejayaan itu susulan penahanan empat lelaki, termasuk dua warga asing berusia 37 dan 47 tahun serta dua lelaki tempatan berusia 32 dan 36 tahun dalam operasi berasingan pada 26 dan 31 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sebelum ini menerima enam laporan polis berkaitan kejadian curi kabel yang berlaku dari awal September hingga penghujung Oktober 2026.
Menurutnya, hasil maklumat di tempat kejadian serta risikan berterusan, sepasukan anggota dari Balai Polis Batu Niah berjaya menahan dua suspek warga asing kira-kira jam 11.10 malam pada 26 Oktober lalu di kawasan Sepupok, Batu Niah.
Siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek kemudian membawa kepada penahanan dua lagi rakan sejenayah mereka, iaitu lelaki tempatan berusia 32 dan 36 tahun.
Kedua-dua suspek itu ditahan kira-kira jam 12.20 tengah hari pada 31 Oktober lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rambai, Bekenu.
Beliau berkata, hasil penahanan kumpulan berkenaan, polis turut berjaya merampas tiga guni yang mengandungi kabel tembaga di sebuah premis barangan lusuh di kawasan Batu Niah Town District, Miri.
“Siasatan mendapati kumpulan ini dipercayai melakukan risikan terlebih dahulu sebelum menyasarkan kabel di lokasi yang kurang menjadi tumpuan orang ramai.
“Kabel yang dipotong akan dikumpulkan sebelum dijual kepada pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan media.
Tambahnya, kumpulan itu turut menggunakan pelbagai peralatan termasuk gergaji besi, parang panjang, spanar, pemotong besi dan pemotong zink untuk menjalankan kegiatan berkenaan, selain menggunakan motosikal bagi tujuan pergerakan.
Dengan tertangkapnya empat suspek terbabit, polis berjaya menyelesaikan enam kes kecurian kabel yang mempunyai modus operandi sama.
Kes berkenaan dilaporkan berlaku di empat lokasi berbeza di kawasan Suai, Batu Niah serta dua lagi lokasi berasingan di Sepupok, Batu Niah.
Kesemua suspek kini masih direman selama 14 hari sehingga 13 November 2026 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kes kecurian dan kerosakan harta awam serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti membeli atau menyimpan barangan yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menghubungi IPD Miri menerusi talian 085-432533 atau hadir ke balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
