KUALA KRAI: Lima warga Myanmar ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah dalam pemeriksaan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan Klinik Kesihatan Kampung Keroh, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan bin Mamat berkata, tangkapan dilakukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira jam 3.45 pagi, 11 November lalu.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah Nissan X-Trail yang berada dalam keadaan mencurigakan itu mendapati pemandunya lelaki warga Myanmar bersama empat penumpang perempuan yang juga warga negara sama.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah sebelum ditahan dan dibawa ke IPD Kuala Krai untuk siasatan lanjut.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan Nissan X-Trail dan sebuah telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai mengambil kesemua warga asing itu dari Kota Bharu untuk dibawa bekerja di Kuala Lumpur dengan bayaran RM400.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 bagi setiap pendatang asing tanpa izin (PATI), atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, Superintendan Mazlan menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran, termasuk menyediakan pengangkutan atau rumah sebagai tempat penginapan sementara kepada pendatang asing tanpa izin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menyalurkan maklumat menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).-DAKWAT RAKYAT POST
