MUKAH: Dua lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dalam satu operasi di kawasan pinggir hutan, Jalan Sibu-Bintulu, Selangau, pada 11 November lalu.
Dalam operasi kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah turut merampas dadah disyaki jenis methamphetamine dengan berat keseluruhan 55.73 gram.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 21 dan 27 tahun itu dilakukan hasil maklumat serta risikan pihak polis.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan 13 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 53.74 gram serta lima keratan tiub straw lutsinar mengandungi bahan sama seberat 1.99 gram.
Polis turut merampas sebuah beg silang berzip berwarna hitam berjenama Puma dan sebuah beg duit berwarna coklat berjenama Levi’s.
Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM2,786.
“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah,” katanya.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Dadah (Perlucuthakan Harta) 1988 susulan penyitaan dua buah motosikal milik suspek yang dianggarkan bernilai RM11,000.
Mengulas lanjut, Muhamad Rizal berkata, suspek pertama berusia 21 tahun yang mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah direman selama tujuh hari sehingga 19 November ini bagi membantu siasatan.
Manakala suspek kedua berusia 27 tahun yang mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah direman selama lima hari sehingga 17 November ini.
Kedua-dua suspek yang tidak bekerja kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada polis menerusi talian 084-871222 atau hadir ke balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
