TAWAU: Sebanyak 1,190 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi yang disyaki cuba diseleweng dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan Jeti Batu 3, di sini, semalam.
Dalam operasi hasil pemantauan dan risikan itu, PPM turut menyita sebuah van Toyota berwarna putih yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau dalam kenyataan memaklumkan, nilai keseluruhan rampasan termasuk van itu dianggarkan RM22,975.
“Kes diserahkan kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kertas siasatan sudah dibuka bagi mengenal pasti sebarang kesalahan berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” menurut kenyataan itu.
KPDN memaklumkan, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
“KPDN Tawau tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.-DAKWAT RAKYAT POST
