KOTA KINABALU: Datuk Kenny Chua Teck Ho dilantik sebagai Pengerusi SOGIP Ventures Sdn Bhd, sekali gus dijangka memperkukuh hala tuju syarikat itu dalam merancakkan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.
Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dalam kenyataannya merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan berkenaan serta menyifatkan pengalaman, kepimpinan dan wawasan strategik beliau mampu membawa syarikat itu ke tahap lebih baik.
Menurut SOGDC, kepimpinan Kenny dijangka membuka lebih banyak peluang pertumbuhan komersial, menarik pelaburan serta memperluas kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas serta industri berkaitan di Sabah.
Katanya, pelantikan itu juga diharap menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih besar dalam usaha memperkukuh SOGIP sebagai hab perindustrian yang berdaya saing dan mampan.
SOGDC turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Kenny dalam melaksanakan tanggungjawab penting berkenaan, khususnya bagi memastikan pembangunan SOGIP terus berkembang dan memberi manfaat kepada ekonomi negeri.-DAKWAT RAKYAT POST
