SANDAKAN: Seramai 750 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dipindahkan dari Sabah ke Zamboanga City, Filipina menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 4/2026 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah pada 12 November 2026.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan melalui laut itu melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Papar menggunakan kapal MV Antonia 1, dengan perjalanan bermula dari Pelabuhan Sandakan menuju Pelabuhan Zamboanga City.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 378 lelaki dewasa, 175 perempuan dewasa, 98 kanak-kanak lelaki dan 99 kanak-kanak perempuan terlibat, dengan lingkungan usia antara tiga hari hingga 71 tahun. Kanak-kanak berkenaan turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
Beliau berkata, sehari sebelum itu, pada 11 November, Depot Imigresen Papar turut melaksanakan pemindahan seorang tahanan lelaki dewasa warganegara Singapura melalui penerbangan Scoot Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Changi, Singapura.
Sehingga 12 November 2026, seramai 9,224 tahanan PATI pelbagai warganegara telah dipindahkan ke negara asal masing-masing. Daripada jumlah itu, 6,915 merupakan warganegara Filipina, 1,959 Indonesia, 143 Pakistan, 142 China, 29 Vietnam dan 36 lagi terdiri daripada lain-lain warganegara termasuk Singapura.
JIM Sabah turut berharap kerjasama Kedutaan Filipina dapat mempercepatkan proses pengeluaran dokumen perjalanan bagi membolehkan penghantaran pulang tahanan dilaksanakan dengan lebih segera, sekali gus mengurangkan kesesakan di depot imigresen di negeri ini.
Dalam pada itu, majikan disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan, direkod dan diurus dengan lebih sistematik.
JIM Sabah turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa permit atau dokumen sah. Kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan berkaitan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang.-DAKWAT RAKYAT POST
