Kota Bharu: Pasukan Polis Marin berdepan cabaran besar dalam membanteras penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Kelantan berikutan terdapat banyak laluan mudah diakses yang sebahagiannya berada di luar jangkauan aset penguatkuasaan pasukan itu.
Komander Polis Marin Wilayah Tiga Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, banyak laluan yang digunakan penyeludup tidak dapat diakses oleh bot Polis Marin, terutama yang beroperasi di kawasan sungai cetek.
Beliau berkata, kehadiran pemberi maklumat atau ‘tonto’ di sepanjang sungai dan di darat yang memantau pergerakan anggota penguat kuasa sepanjang masa turut menjadi cabaran besar dalam operasi.
“Selepas tinjauan saya di sempadan, saya mendapati kekangan utama yang kita hadapi adalah terlalu banyak laluan yang boleh digunakan penyeludup untuk membawa masuk PATI.
“Laluan ini mudah diakses oleh mereka, tetapi ada yang tidak dapat dicapai oleh aset Polis Marin,” katanya kepada pemberita.
Khairuddin berkata, aset Polis Marin sedia ada kebanyakannya direka untuk operasi di laut, sekali gus menjadikannya kurang sesuai untuk meredah sungai cetek.
“Bot kita mempunyai enjin berkuasa tinggi dan reka bentuk badan yang sesuai untuk operasi di laut. Bagaimanapun, ia tidak sesuai digunakan di kawasan sungai cetek,” katanya.
Khairuddin berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu kepada pihak kepimpinan bagi mendapatkan aset yang lebih sesuai.
Katanya, Polis Marin ketika ini mempunyai 20 bot laju berprestasi tinggi serta kekuatan keseluruhan 230 pegawai dan anggota.
Bagaimanapun, beliau berkata, hanya 60 pegawai dan anggota ditempatkan di Pengkalan Kubor dan Tok Bali.
Beliau berkata, kekuatan anggota akan ditambah secara berperingkat, dengan anggota operasi dari Kuantan dijangka ditempatkan di Kelantan bagi memperkukuh pasukan sedia ada.
Kredit sumber: Harian Metro
