GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dipercayai lemas di sebuah kolam mini di Taman Etnobotani, di sini, pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 pagi, 14 November 2026.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Jabatan Kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan serta punca sebenar kejadian.
“Pihak polis tidak akan membuat sebarang spekulasi sehingga semua fakta dan hasil bedah siasat diperoleh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memberikan pengawasan rapi terhadap kanak-kanak, khususnya ketika berada di kolam renang, sungai serta kawasan rekreasi air.
Sebarang perkembangan lanjut berhubung kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-DAKWAT RAKYAT POST
