TANJUNG MALIM: Seorang wanita warga emas antara penduduk yang dibantu anggota bomba untuk berpindah ke tempat lebih selamat susulan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan penempatan sekitar Tanjung Malim, Perak, pada Sabtu.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Bomba Perak, kejadian itu membabitkan kawasan Rumah Awam III, Taman Sentosa dan Kampung Berop dengan paras air dianggarkan mencecah tiga kaki.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim tiba di lokasi pada jam 5.29 petang selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan.
Hasil pemantauan mendapati keadaan cuaca ketika itu tidak hujan, manakala paras air dilaporkan semakin surut.
Dalam operasi berkenaan, anggota bomba membantu memindahkan seorang wanita warga emas yang memerlukan bantuan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Khir Johari dengan bantuan orang awam.
Operasi diketuai PBK II KUP Mhd. Fauzi bin Che Khalid, manakala Komander Operasi Kanan ialah PPgB Mohd Zairul Fahmi bin Mohd Nazari, Ketua Balai BBP Tanjung Malim.
Seramai lapan anggota terbabit dalam operasi itu dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Light Operational Vehicle (LOV).
Kerja-kerja pemantauan di kawasan terjejas masih diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.-DAKWAT RAKYAT POST
