MANILA: ASEAN akan menubuhkan hab industri kreatif serantau di Filipina bagi membantu perniagaan kreatif di Asia Tenggara menembusi pasaran global.
Dalam deklarasi yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 hari ini, pemimpin blok itu menugaskan Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi Industri Kreatif (ACE-CI) untuk menjalankan penyelidikan, menggalakkan inovasi dan memperkukuh perlindungan harta intelek.
Pemimpin ASEAN menggesa negara anggota memanfaatkan pusat itu bagi membantu usahawan kreatif meningkatkan kemahiran serta memperoleh akses yang lebih baik kepada pembiayaan dan teknologi.
Mereka turut meminta peluang yang lebih luas disediakan kepada perniagaan kecil, syarikat pemula niaga, wanita, golongan muda, pekerja bebas dan komuniti setempat.
Deklarasi itu menggesa pengkomersialan barangan dan perkhidmatan kreatif ASEAN secara bertanggungjawab dan mampan, di samping melindungi warisan budaya ketara dan tidak ketara ASEAN, termasuk pengetahuan tradisional dan ekspresi budaya.
Pusat itu juga akan menghubungkan institusi dan penggiat industri kreatif bagi memudahkan pergerakan barangan, perkhidmatan, bakat dan pelaburan merentasi rantau ini.
Kredit sumber: BERNAMA/Berita Harian – Disiarkan pada 15 November 2026
