PETALING JAYA: “Terkejut lihat ada sekatan jalan raya.” Itu dipercayai alasan seorang pemuda melarikan diri sehingga dikejar beberapa kereta peronda polis (MPV) awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata suspek lelaki berusia 20-an itu melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Jalan SS2/75, di sini.
“Semasa cubaan tangkapan dilakukan, suspek bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri semula.
“Kereta Toyota Vios itu dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum berjaya ditahan di kawasan Jalan Tiara Titiwangsa 10, Kuala Lumpur kira-kira jam 2 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semakan rekod mendapati lelaki tempatan itu mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan dadah namun ujian air kencing mendapati suspek tidak berada di bawah pengaruh bahan terlarang.
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
“Saksi mempunyai maklumat berkaitan kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video memaparkan sekurang-kurangnya empat MPV polis mengejar sebuah kenderaan berwarna putih.
Kredit sumber: Berita Harian – Disiarkan pada 15 November 2026
