Washington: Seorang hakim persekutuan pada Sabtu mengarahkan sebuah taman awam di tebing sungai di Washington kekal dibuka buat masa ini, sekali gus menghalang rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menutup kawasan itu bagi kerja pengubahsuaian.
Keputusan itu merupakan satu lagi tamparan terhadap usaha Trump menjadikan East Potomac Park sebagai padang golf bertaraf kejuaraan yang memenuhi standard pemain profesional.
Dalam keputusan setebal 30 halaman, Hakim Mahkamah Daerah AS, Ana Reyes, mengeluarkan perintah sementara menghalang kerajaan persekutuan meneruskan rancangan menutup kawasan berkenaan mulai Ahad.
Menerusi hantaran media sosial pada 18 Oktober lalu, Trump berkata penutupan itu akan berlangsung selama 15 bulan bagi mengubah kemudahan golf taman berkenaan menjadi antara padang golf terbaik dan paling menakjubkan di dunia.
Reyes memutuskan alasan yang diberikan pentadbiran Trump untuk menutup taman itu hanya bersifat alasan yang direka, selain kerajaan melanggar sekurang-kurangnya dua undang-undang persekutuan bagi memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan secara sewenang-wenangnya.
“Kerajaan bercadang menutup sebuah taman bersejarah yang dikunjungi setiap hari oleh penduduk Washington daripada pelbagai latar belakang, untuk tempoh yang tidak ditetapkan,” tulis Reyes.
Walaupun mengarahkan taman itu, yang terletak berhampiran Memorial Jefferson kira-kira tiga kilometer di selatan Rumah Putih, kekal dibuka, Reyes berkata pentadbiran Trump tidak diwajibkan meneruskan operasi golf di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh menggunakan ketiadaan operasi golf sebagai alasan untuk menghalang orang awam memasuki kawasan itu”, katanya.
Keputusan Reyes, yang dilantik oleh bekas Presiden AS daripada Parti Demokrat, Joe Biden, dan pernah digelar “gila” oleh Trump, merupakan perkembangan terbaharu tindakan badan kehakiman persekutuan menolak usaha besar-besaran Trump mengubah wajah ibu negara itu menerusi projek pembinaan berskala besar.
Keputusan itu dibuat susulan saman dikemukakan DC Preservation League, sebuah kumpulan pemeliharaan bangunan dan kawasan bersejarah yang mendakwa rancangan pembangunan semula taman itu melanggar beberapa peraturan serta undang-undang persekutuan.
Peguam kumpulan itu sebelum ini turut memperoleh keputusan Reyes yang menghalang Perkhidmatan Taman Negara, agensi di bawah Jabatan Dalam Negeri, daripada menebang pokok atau melakukan sebarang pengubahsuaian lain yang tidak boleh dipulihkan tanpa memberikan notis awal.
Democracy Forward, yang mewakili kumpulan pemeliharaan itu dan dua penduduk tempatan dalam kes berkenaan, berkata pihaknya berterima kasih kepada Reyes kerana menghalang satu lagi projek presiden yang hanya memenuhi kepentingan peribadinya.
Penasihat undang-undang kanan kumpulan itu, Catherine Carroll, berkata tindakan pentadbiran yang tidak dapat dijelaskan untuk memusnahkan East Potomac Park akan menyebabkan penduduk kehilangan sebuah taman berharga yang tidak mungkin dapat digantikan.
Jabatan Dalam Negeri, Jabatan Kehakiman dan Rumah Putih tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas keputusan itu.
Saman berkenaan mencetuskan beberapa pertelingkahan antara Reyes dengan peguam Jabatan Kehakiman.
Bulan lalu, hakim itu berkata tindakan kerajaan menebang ratusan pokok di kawasan padang golf serta gagal memaklumkan kumpulan pemeliharaan mengenai kerja berkenaan menyebabkan kerajaan kehilangan segala kredibiliti dalam kes itu.
Reyes turut mengarahkan siasatan etika dijalankan bagi menentukan sama ada peguam kerajaan berulang kali mengelirukan beliau mengenai jadual penutupan taman berkenaan.
Jabatan Kehakiman pula menuduh Reyes melampaui bidang kuasanya dan bertindak tidak wajar dengan memperlekehkan peguam kerajaan. Jabatan itu turut meminta hakim berkenaan menarik diri daripada mengendalikan kes terbabit, namun permintaan itu ditolak.Trump, yang memiliki beberapa padang golf di seluruh dunia, memberi tumpuan kepada kerja pengubahsuaian East Potomac Park sebagai sebahagian daripada cita-citanya meninggalkan legasi seni bina di seluruh Washington.Taman itu mempunyai tiga padang golf dengan keseluruhan 36 lubang, sebuah padang golf mini serta laluan berturap yang popular dalam kalangan penunggang basikal dan pelari.Cadangan pembangunan semula itu akan menggabungkan kawasan berkenaan menjadi sebuah padang golf kejuaraan 18 lubang yang menurut Trump mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia seperti Terbuka AS dan Piala Ryder, selain kekal dibuka kepada orang awam.
Kredit sumber: REUTERS/Harian Metro
