MEDAN – Pihak berkuasa Medan bersama pegawai kastam merampas sebuah bot nelayan yang dipercayai digunakan untuk menyeludup 56 kilogram (kg) dadah jenis syabu dari Malaysia di perairan Kabupaten Serdang Bedagai, Sumatera Utara di Indonesia.
Ketua Polis Medan, Komander Kanan Jean Calvijn Simanjuntak berkata, gerakan bersepadu digelar Operasi Gerhana 2026 itu dijalankan berhampiran beting Sijenggi pada Ahad selepas bot nelayan tersebut cuba mengelakkan pihak berkuasa.
Menurutnya, bot berkenaan bertindak memecut laju walaupun polis telah melepaskan tembakan amaran.
“Ia berjaya dipintas selepas dirempuh bot peronda kastam,” ujar Jean Calvijn.
Tambahnya lagi, kesemua suspek berasal dari Sumatera Utara dikenal pasti sebagai AH, 46, RH, 35, dan NS, 38.
Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga kru itu dipercayai beberapa kali menyeludup dadah dari Selangor ke Sumatera Utara menggunakan bot nelayan.
Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar hasil perkembangan siasatan kes dadah terdahulu yang dikendalikan Unit Siasatan Narkotik Polis Medan.
Bagi menggagalkan cubaan penyeludupan terbaharu itu, unit berkenaan menghubungi Pejabat Kastam dan Eksais untuk melaksanakan operasi bersama di perairan sempadan Indonesia-Malaysia berhampiran Tanjung Balai.
Ketua Pejabat Kastam dan Eksais Sumatera Utara, Rudy Ramaddi memaklumkan kejayaan operasi itu memberi impak besar khususnya dalam melindungi golongan muda daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
Beliau menganggarkan kira-kira 280,000 golongan muda dapat diselamatkan daripada terjebak dengan penyalahgunaan syabu berdasarkan anggaran penggunaan sebanyak 0.2 gram bagi setiap individu.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek bersama dadah yang dirampas telah diserahkan kepada Polis Medan untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang.
Mereka disiasat mengikut Undang-Undang Nombor 35 berkaitan Narkotik serta Undang-Undang Nombor 17 Tahun 2006 berkaitan Kastam.
Kredit sumber: Agensi/Sinar Harian
