Kudat: Dua bom lama dengan berat keseluruhan hampir satu tan yang ditemukan di kawasan tepi pantai Pulau Balambangan, di sini, berjaya dimusnahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, semalam.
Kedua bom seberat 453.5 kilogram (kg) setiap satu itu dimusnahkan menerusi operasi selama dua hari bermula 16 November lalu, selepas mengambil kira faktor pasang surut air laut dan keselamatan kawasan sekitar.
IPK Sabah dalam kenyataannya berkata, operasi pemusnahan bahan letupan yang belum meletup atau Unexploded Ordnance (UXO) itu membabitkan empat pegawai kanan dan 12 anggota polis.
Menurutnya, mereka dari Cawangan Persenjataan, Jabatan Logistik dan Teknologi IPK Sabah serta Cawangan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Zon 2 Sabah.
“Keadaan persekitaran memerlukan penelitian rapi bagi memastikan setiap tindakan pemusnahan dilaksanakan dengan selamat dan terkawal.
“Hasil operasi selama dua hari itu, kedua-dua bom udara berjaya dimusnahkan sepenuhnya tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan,” katanya.
Katanya lagi, aspek keselamatan anggota bertugas dan kawasan sekitar turut diberikan keutamaan sepanjang operasi dijalankan.
“Kejayaan operasi itu sekali gus memastikan ancaman bahan letupan berkenaan dapat dihapuskan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, IPK Sabah menegaskan komitmen pasukan UPB dalam menangani ancaman bahan letupan secara profesional demi menjamin keselamatan masyarakat dan persekitaran.
Kredit sumber: Harian Metro
