KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian lima unit pagar aluminium di sebuah rumah di kawasan perumahan Jalan Matang-Batu Kawa, di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan, P/Supt Barry Anak William berkata, suspek ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada 17 November 2026, kira-kira jam 9.40 malam.
Menurutnya, kejadian disedari pengadu pada 16 November lalu, kira-kira jam 12 tengah hari apabila mendapati lima unit pagar aluminium yang masih terpasang pada tiang pagar hadapan rumahnya telah hilang dan dipercayai dicuri.
Bertindak atas maklumat diterima serta hasil siasatan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan perumahan Jalan Matang-Batu Kawa pada hari berikutnya.
Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Kuching hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Barry berkata, penahanan itu dibuat susulan kejadian berkenaan yang turut mendapat perhatian selepas satu hantaran berkaitan kes tersebut tular di media sosial Facebook.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.
Polis IPD Padawan akan terus komited dalam usaha membanteras jenayah demi menjamin keselamatan dan ketenteraman masyarakat.-DAKWAT RAKYAT POST
