JAKARTA: Seorang pekerja meninggal dunia akibat melecur parah susulan letupan di sebuah loji penapis latihan minyak dan gas di Cepu, Jawa Tengah, Indonesia pada Rabu.
Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia berkata letupan itu berlaku kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan ketika kerja penyelenggaraan berjadual dijalankan di loji penapis yang tidak beroperasi ketika aktiviti pembersihan dilakukan.
“Seorang pekerja kontraktor luar cedera parah akibat melecur dan dengan dukacita dimaklumkan, mangsa meninggal dunia pada 5 petang hari ini,” menurut kenyataan kementerian itu pada Rabu, sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menurut kementerian itu, keadaan berjaya dikawal selepas anggota bomba memadamkan kebakaran kira-kira 11 pagi dan menjalankan operasi penyejukan di lokasi kejadian.
Pegawai daripada Direktorat Awam Minyak dan Gas berada di lokasi bersama pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang bagi menyiasat punca letupan.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa beberapa gambar dan video yang tular dalam talian, kononnya memaparkan kejadian letupan itu, sebenarnya adalah rakaman kebakaran berasingan di kemudahan pemprosesan gas Gundih pada 2020.
Loji penapis yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Sumber Manusia Minyak dan Gas, lazimnya digunakan untuk melatih tenaga kerja industri minyak dan gas serta menjalankan penilaian kecekapan.
Kredit sumber: BERNAMA/Berita Harian
