SLIM RIVER: Seorang wanita tempatan berusia 44 tahun ditahan manakala 378 karton rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dirampas dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Stesen, di sini, pada 16 November lalu.
Rampasan yang dianggarkan bernilai RM10,000 itu dilakukan sepasukan anggota Pejabat Cawangan Risik Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor menerusi Op Taring Alpha 1, kira-kira jam 2.15 petang.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Khalid bin Mohamad berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan pelbagai jenama rokok putih dan rokok kretek yang disyaki tidak mempunyai setem cukai Kastam yang sah.
Menurutnya, wanita terbabit ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memiliki, menyimpan dan menjual rokok tidak bercukai di premis berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau berkata, semua barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan penilaian serta analisis.
Khalid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran barangan tidak bercukai yang menyalahi undang-undang.
Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau sebarang kegiatan jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah.-DAKWAT RAKYAT POST
