IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN Perak) menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas kematian seorang murid Tingkatan Tiga yang disahkan meninggal dunia di sebuah sekolah di Perak, hari ini.
Menurut kenyataan media JPN Perak, pihaknya sedang memantau perkembangan insiden berkenaan secara dekat dan telah mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
JPN Perak turut menyelaras pemberian perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka diberikan perhatian sewajarnya.
Selain itu, komunikasi dengan keluarga murid akan dilaksanakan secara berhemah, penuh empati dan berterusan, di samping menyediakan bantuan serta sokongan yang bersesuaian.
Dalam pada itu, JPN Perak meminta semua pihak menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya menerusi media sosial.
Menurut jabatan itu, langkah berkenaan penting bagi menjaga sensitiviti keluarga serta memastikan kelancaran proses siasatan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid berkenaan menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Beliau berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar itu.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, tiada sebarang aspek harus diketepikan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan kejadian seumpama itu dapat dicegah daripada berulang.-DAKWAT RAKYAT POST
