Editorial
IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa wanita yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Waterfall Puncak Jelapang, Meru Raya, di sini, berakhir selepas mangsa ditemukan pada jam 8.10 pagi tadi.
Mangsa, Sneha a/p Puvanesan, 21, ditemukan orang awam dalam keadaan tersangkut pada batang pokok, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi awal mangsa dipercayai dihanyutkan arus.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian menjalankan operasi membawa naik mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kejadian itu, seramai empat mangsa terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita terlibat. Tiga mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia.
Operasi SAR berkenaan melibatkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya serta lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Ipoh.
Turut digunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti Hilux.
Operasi diketuai PBK I Suhaimi binti Ab Samad selaku Komander Operasi dengan dibantu PgKB II Mohd Firdaus bin Daud, Ketua Zon 1 Perak sebagai Komander Operasi Kanan.
JBPM merakamkan penghargaan kepada semua agensi serta orang awam yang membantu menjayakan operasi berkenaan.-DRP
