Screenshot
Editorial
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta mewah jenis BMW X6 berwarna merah yang bertindak memecut meninggalkan lokasi selepas diarahkan berhenti dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Bukit Bintang, awal pagi 20 November lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Supt. Suffian Abdullah memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 3.43 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota JSPT KL sedang menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) di lokasi berkenaan.
Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan itu pada mulanya berhenti di lokasi sekatan, namun gagal memberikan kerjasama kepada pihak polis sebelum bertindak memecut meninggalkan kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, semakan mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang pelanggaran atau kemalangan jalan raya.
Identiti pemandu terbabit masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan serta mengenal pasti individu berkenaan sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967 dan siasatan dikendalikan Pegawai Penyiasat JSPT Kuala Lumpur, Inspektor Mohammad Salehuddin bin Musa.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- DRP
