SEMPORNA
Editorial
SEMPORNA: Bukan sekadar menawarkan tempat penginapan, Panglima Resort di Kampung Gelam-Gelam, Pulau Bum Bum membawa misi lebih besar apabila menjadikan warisan perjuangan nenek moyang sebagai inspirasi membangunkan pelancongan berasaskan komuniti menerusi konsep kampung stay.
Mengambil pendekatan berbeza daripada kebanyakan resort di Semporna yang sinonim dengan penginapan atas air, resort berkenaan memilih kawasan darat sebagai tarikan tersendiri, sekali gus membuka peluang kepada pelancong menikmati suasana kampung, keindahan alam semula jadi serta mengenali kehidupan masyarakat Bajau dan Suluk.
Namun, keistimewaan Panglima Resort bukan hanya terletak pada lokasi dan persekitarannya, sebaliknya turut berakar daripada sejarah perjuangan seorang tokoh masyarakat, Panglima Lauhari, yang dipercayai antara lima pahlawan Bajau dari Pulau Bum Bum menentang penjajahan British pada abad ke-19.
Kisah perjuangan itu bukan sekadar diwarisi melalui cerita turun-temurun, malah turut diketengahkan menerusi salinan rekod pertempuran yang pernah diterbitkan dalam British North Borneo Herald dan dipamerkan di resort berkenaan sebagai tatapan serta pengenalan sejarah kepada pengunjung.
Bagi salah seorang pemiliknya, Yusof Pg. Hj. Abd Kassim, penubuhan Panglima Resort pada 2023 bukan sekadar usaha membina sebuah perniagaan penginapan, sebaliknya membawa hasrat mengabadikan warisan keluarga selain mengangkat potensi kampung sendiri sebagai destinasi pelancongan.
Menurutnya, Panglima Lauhari merupakan nenek moyang mereka dan semangat perjuangan tokoh itu menjadi pencetus inspirasi kepada generasi seterusnya untuk membangunkan sesuatu yang bukan sahaja membanggakan keluarga, malah memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Resort ini sebenarnya konsep kampung stay, bukannya dibina semata-mata untuk berniaga. Kita mahu menjadikan tempat ini sebagai mercu tanda keturunan Panglima Lauhari dan pada masa sama memperkenalkan keunikan kampung kepada orang luar,” katanya.
Yusof berkata, Pulau Bum Bum mempunyai potensi pelancongan tersendiri yang masih boleh diterokai, khususnya dari segi keindahan laut, suasana perkampungan yang tenang serta kekayaan budaya masyarakat Bajau dan Suluk.
Justeru, konsep kampung stay dilihat mampu melengkapi penawaran pelancongan sedia ada di Semporna dengan memberikan pengalaman lebih dekat kepada pelancong yang mahu menyelami kehidupan masyarakat tempatan, bukan sekadar menikmati panorama laut dan pulau.
Lebih penting, pendekatan itu turut membuka ruang kepada penduduk kampung untuk menjadi sebahagian daripada rantaian ekonomi pelancongan, termasuk melalui peluang pekerjaan, penyediaan gerai serta pemasaran produk tempatan.
Malah, program anjuran kementerian dan agensi kerajaan yang berlangsung di resort berkenaan turut dimanfaatkan sebagai platform untuk penduduk memasarkan pelbagai produk seperti kuih-muih, kerepek dan hasil kraftangan.
Dari segi sambutan, Panglima Resort menerima kunjungan pelancong tempatan menerusi program perkhemahan membabitkan murid sekolah rendah, menengah dan kanak-kanak tadika, selain pelancong antarabangsa khususnya dari Eropah.
Menurut Yusof, pelancong Eropah antara yang tertarik dengan suasana perkampungan dan aktiviti luar seperti berbasikal serta meneroka kawasan sekitar, sekali gus memperlihatkan bahawa pengalaman kehidupan kampung mempunyai nilai tarikan tersendiri dalam industri pelancongan.
Bagaimanapun, di sebalik potensi dan sambutan yang diterima, pembangunan pelancongan berasaskan komuniti itu tidak terlepas daripada cabaran, khususnya membabitkan urusan perlesenan dan kesesuaian status tanah kampung dengan syarat pembangunan komersial.
Yusof berkata, meskipun pihak kementerian dan agensi berkaitan secara umumnya memberikan sokongan terhadap usaha memperkasa pelancongan komuniti, proses mendapatkan kelulusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) masih memerlukan penyelarasan lebih jelas.
Katanya, pengusaha tidak mempunyai masalah untuk memenuhi keperluan teknikal termasuk menyediakan pelan bangunan, namun timbul kesukaran apabila tanah kampung yang digunakan bagi aktiviti penginapan dan pelancongan perlu memenuhi syarat guna tanah komersial.
Situasi itu, menurutnya, memerlukan pendekatan lebih bersesuaian supaya inisiatif penduduk membangunkan ekonomi kampung tidak terbeban dengan keperluan perlesenan yang sukar disesuaikan dengan keadaan tanah sedia ada.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan mekanisme perlesenan yang lebih fleksibel dan praktikal bagi pengusaha pelancongan komuniti, tanpa mengabaikan aspek keselamatan serta pematuhan peraturan.
Selain isu perlesenan, bekalan air turut menjadi cabaran operasi apabila resort berkenaan bergantung kepada sumber telaga yang terletak kira-kira lima kilometer dari kawasan penginapan.
Air berkenaan perlu dipam ke tangki simpanan sebelum disalurkan untuk kegunaan resort, sekali gus meningkatkan kos operasi, manakala bekalan elektrik diperoleh daripada Sabah Electricity (SE).
Ketika ini, Panglima Resort mempunyai kira-kira 10 unit penginapan di kawasan melebihi satu ekar, dengan persekitaran yang menawarkan suasana santai menghadap Laut Sulawesi serta pemandangan Taman Marin Tun Sakaran.
Bagi Yusof, kejayaan pembangunan pelancongan di Pulau Bum Bum tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah resort atau kemudahan penginapan semata-mata, sebaliknya sejauh mana pertumbuhan industri itu mampu membawa pulangan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Beliau menegaskan, kerjasama erat antara pengusaha, penduduk kampung, agensi kerajaan dan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan pembangunan pelancongan dapat berkembang secara terancang tanpa menghakis identiti serta kelestarian kehidupan masyarakat tempatan.
“Kalau kita mahu membangunkan pelancongan, jangan sampai orang kampung hanya menjadi pemerhati. Mereka perlu menjadi sebahagian daripada pembangunan itu dan turut menikmati hasilnya.
“Kita ada budaya, sejarah dan keindahan alam sendiri. Semua ini perlu diketengahkan supaya pelancong bukan sahaja datang menikmati laut, tetapi turut mengenali kehidupan serta warisan masyarakat di sini,” katanya.
Jelas, menerusi pendekatan kampung stay, Panglima Resort bukan sekadar mahu menjadikan Pulau Bum Bum sebagai persinggahan pelancong, tetapi berusaha memastikan warisan sejarah, keunikan budaya dan potensi ekonomi masyarakat kampung terus mendapat tempat dalam landskap pelancongan Semporna.-DRP
