Screenshot
KOTA BHARU: Projek pembinaan kilang simen bernilai lebih RM1 bilion di Ketil, Gua Musang kini menunjukkan perkembangan positif apabila kerja-kerja pembersihan tapak mula dilaksanakan sebagai persediaan untuk pembinaan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, projek berkenaan merupakan pelaburan jangka panjang hasil kerjasama antara syarikat tempatan dengan pengeluar simen dari China, West China Cement.
Menurutnya, pembangunan kilang itu sudah lama dirancang dan kini semakin hampir memasuki fasa pelaksanaan selepas melalui pelbagai peringkat perancangan.
Beliau berkata, projek berkenaan bukan sahaja akan memperkukuh sektor perindustrian di Kelantan, malah dijangka menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.
“Pelaburan ini bernilai lebih kurang RM1 bilion dan merupakan projek jangka panjang yang sudah lama dirancang, namun kini baru dapat direalisasikan.
“Sekarang ia sudah berada di peringkat akhir dan kerja-kerja pembersihan tapak sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Halal Thai di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Jumaat lalu.
Turut hadir, Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Phasit Chudabuddhi.
Mengulas mengenai kaedah pengangkutan dan logistik bagi projek berkenaan, Md Anizam berkata, penggunaan perkhidmatan kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara pilihan yang berkemungkinan dipertimbangkan.
Katanya, pilihan itu dilihat relevan memandangkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak menyediakan stesen di Gua Musang.
Sementara itu, beliau berkata Festival Halal Thai yang berlangsung selama lima hari bermula semalam menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung.
Menurutnya, penganjuran festival yang disertai peniaga dari empat wilayah di Thailand itu diharap dapat dijadikan acara tahunan bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara selain merancakkan industri pelancongan.
Beliau turut berharap platform berkenaan dapat membuka peluang kepada usahawan Kelantan untuk memperkenalkan serta memasarkan produk halal tempatan ke pasaran Thailand pada masa akan datang.
“Selepas ini, usahawan dan peniaga dari Kelantan juga berpeluang berkunjung ke Thailand untuk mempamerkan serta memasarkan produk halal keluaran tempatan di sana,” katanya.
Sumber: Dagang News / Kelate Viral
