JAKARTA: Polis Indonesia mengeluarkan 24 beg mayat dari sebuah kilang yang musnah dalam kebakaran di Pulau Jawa pada Ahad, ketika anggota bomba masih berusaha memadamkan sisa titik panas selepas kebakaran memusnahkan bangunan berkenaan sehari sebelumnya.
Operasi mencari puluhan pekerja yang masih hilang terpaksa dihentikan sementara pada malam Sabtu sebelum dijadualkan disambung semula pada pagi Isnin.
Kebakaran berlaku pada petang Sabtu di kilang gula-gula PT Fonusa Agung Mulia di Cikande, daerah Serang. Kilang berkenaan merupakan sebahagian daripada syarikat makanan United Family Food yang ditubuhkan pada 1981, menurut laman web syarikat itu.
Rakaman Metro TV menunjukkan ahli keluarga mangsa dalam keadaan sebak dan menangis di luar kawasan kilang sementara menunggu perkembangan mengenai nasib saudara-mara mereka yang dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran tersebut.
Ketua Polis wilayah Banten, Hendra Kurniawan, memberitahu Metro TV bahawa operasi mencari dan menyelamat dijadualkan disambung semula pada pagi Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif kilang itu, Steven Erwin Wijaya, berkata dalam satu sidang media bahawa kira-kira 300 pekerja berada di kilang ketika syif pada Sabtu.
Dalam kenyataan susulan, pihak kilang memaklumkan bahawa daripada 65 pekerja yang terlibat, seramai 24 orang telah pulang ke rumah, empat sedang menerima rawatan perubatan, manakala 29 lagi masih hilang. Status keberadaan lapan pekerja selebihnya masih belum dapat disahkan.
Dalam sidang media sama, pegawai pengenalan mangsa bencana polis, Wahyu Hidayati, berkata tahap kemusnahan akibat kebakaran menyebabkan mangsa yang ditemukan tidak dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan visual.
Sehubungan itu, pihak berkuasa sedang berusaha mendapatkan sampel DNA daripada ahli keluarga serta barangan peribadi milik pekerja yang hilang bagi membantu proses pengecaman mangsa.
Proses berkenaan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.
Jumlah sebenar kematian masih belum dapat dipastikan setakat ini, dengan pihak polis menjelaskan bahawa satu beg mayat berkemungkinan mengandungi bahagian tubuh lebih daripada seorang mangsa.
Pihak berkuasa memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan. Seorang pegawai turut berkata beberapa bahagian bangunan masih berisiko runtuh.
United Family Food merupakan syarikat pengeluar barangan pengguna yang beroperasi di seluruh Indonesia, mempunyai kira-kira 5,000 pekerja serta beroperasi dari ibu pejabat kebangsaannya dan empat pejabat antarabangsa.
Syarikat itu turut memenuhi keperluan pasaran yang mempunyai lebih 250 juta pengguna.
Kredit sumber: REUTERS
