KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM451.098 juta bagi pelaksanaan 7,059 projek di 66 kawasan Parlimen yang diwakili Ahli Parlimen pembangkang bagi tempoh Januari 2023 hingga 31 Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata peruntukan itu disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Ingin saya menegaskan kerajaan tidak meminggirkan keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen pembangkang.
“Pembangunan di kawasan-kawasan terbabit turut dilaksanakan melalui pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan berdasarkan keperluan pembangunan setempat serta keutamaan yang telah ditetapkan,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai jumlah keseluruhan peruntukan kepada Perdana Menteri serta kriteria kelulusan perbelanjaan.
Mustapha memaklumkan bagi tempoh Januari 2023 hingga Oktober 2026, jumlah keseluruhan peruntukan yang diluluskan kepada Perdana Menteri menerusi penyelarasan ICU JPM ialah RM2.561 bilion membabitkan 33,653 kelulusan sumbangan dan projek fizikal.
Daripada jumlah itu, RM567.983 juta diluluskan bagi sumbangan, manakala RM1.993 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek fizikal.
Beliau berkata, sebanyak RM2.363 bilion daripada keseluruhan peruntukan itu telah dibelanjakan, manakala baki RM197.553 juta membabitkan sumbangan dan projek yang masih dalam pelaksanaan bagi tahun ini.
“Semua perbelanjaan, peruntukan dan pelaksanaan projek adalah mengikut tatakelola dan peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa.
“ICU JPM turut memantau setiap perbelanjaan peruntukan dan pelaksanaan projek agar menepati keperluan rakyat,” katanya.
Mustapha berkata, setiap cadangan projek diteliti dan dipertimbang berdasarkan keperluan rakyat.
Katanya, kerajaan akan terus memperkukuhkan mekanisme penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan projek bagi memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum serta memberi impak nyata kepada rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan bagi kawasan Parlimen Ampang, Petaling Jaya dan Subang tidak disekat, sebaliknya penyalurannya tertakluk pada mekanisme serta keperluan semasa kerajaan.
Kredit sumber: BERNAMA
