TANGKAK: Tiga pelajar lelaki yang disyaki memukul seorang rakan sekolah berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di daerah ini akan didakwa di mahkamah selepas pihak pendakwaan mengeluarkan arahan berhubung kes berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, DSP Jamellulkamal bin Abdul Halim berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor sebelum arahan mendakwa ketiga-tiga suspek dikeluarkan.
Kesemua mereka diarahkan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan niat bersama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 13 November lalu apabila mangsa didakwa dipukul di dalam kelas dan kawasan pondok sekolah.
Mangsa mendakwa ditendang, ditumbuk serta disepak berulang kali oleh tiga pelajar terbabit sehingga mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kiri kepala, dada, perut dan lengan kiri.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Siasatan awal polis sebelum ini mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit.
Polis turut memaklumkan ketiga-tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun itu sudah dikenal pasti dan diambil tindakan bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, Polis Daerah Tangkak menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya yang membabitkan pelajar sekolah.
Ibu bapa dan pihak sekolah diseru supaya sentiasa peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak selain tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat kenyataan tidak benar atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu, terutama maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terlibat.-DRP
