KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A. Samad Said, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang, 24 November 2026.
Pemergian tokoh yang mesra disapa Pak Samad itu merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan tanah air, khususnya dalam perkembangan sastera Melayu moden.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial memaklumkan beliau menerima perkhabaran mengenai keadaan kesihatan Pak Samad yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Anwar berkata, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan serta mengangkat segala kesakitan yang ditanggung tokoh sastera berkenaan.
Beliau turut menyifatkan Pak Samad sebagai seorang budayawan yang banyak berjasa dalam dunia kesusasteraan negara.
Anwar turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar berkenaan.
Pak Samad merupakan antara tokoh penting dalam kesusasteraan Melayu yang meninggalkan sumbangan besar menerusi karya-karya yang mengangkat nilai kemanusiaan, kehidupan masyarakat dan realiti sosial.-DRP
