MIRI: Maxim Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia melancarkan kempen “Jelajah Bersama Maxim” sebagai usaha memperkukuh kemudahan pengangkutan serta meningkatkan promosi destinasi pelancongan di seluruh negara.
Pelancaran inisiatif berkenaan menandakan kesinambungan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan dalam menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, khususnya menerusi penyediaan perkhidmatan pengangkutan yang mudah diakses bagi membantu pelancong meneroka pelbagai lokasi menarik di Malaysia.
Sebagai rakan kerjasama rasmi bagi Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, Maxim komited menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan negara melalui perkhidmatan e-hailing serta pelaksanaan pelbagai program yang dapat meningkatkan kemudahan pergerakan pengunjung.
Kempen berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dengan Miri, Sarawak dipilih sebagai lokasi permulaan sebelum diperluaskan ke beberapa bandar lain.
Pelaksanaannya akan memberi perhatian kepada kawasan tarikan pelancongan dan lokasi yang sering dikunjungi pelawat bagi memudahkan perjalanan antara satu destinasi dengan destinasi yang lain.
Antara perancangan yang bakal diperkenalkan termasuk penjenamaan kenderaan berkonsepkan pelancongan, penyediaan lokasi pengambilan penumpang khusus, bahan promosi, papan tanda maklumat serta bangku di beberapa kawasan terpilih.
Semua kemudahan dan aktiviti berkenaan akan dilaksanakan tertakluk kepada kelulusan serta ketetapan pihak berkuasa berkaitan.
Usaha itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan destinasi pelancongan tempatan kepada lebih ramai pengunjung, malah menyediakan maklumat yang bersesuaian dan memudahkan pelancong mendapatkan perkhidmatan pengangkutan sepanjang berada di sesuatu kawasan.
Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, kerjasama dengan MOTAC itu mencerminkan kesediaan pihak swasta memainkan peranan dalam menyokong pembangunan sektor pelancongan negara.
Menurutnya, Maxim berbesar hati dapat menyumbangkan kepakaran, rangkaian perkhidmatan serta kehadiran operasinya di pelbagai bandar bagi membantu merealisasikan matlamat bersama dalam memajukan industri pelancongan.
Beliau turut berharap kerjasama tersebut dapat membuka lebih banyak ruang untuk mengetengahkan keistimewaan destinasi dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan oleh setiap kawasan di Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Chiew Choon Man berkata, kemudahan pengangkutan yang selamat, mudah dan boleh dipercayai merupakan antara elemen penting dalam memastikan pelancong memperoleh pengalaman perjalanan yang baik.
Katanya, pengalaman pelancongan bukan hanya tertumpu kepada keindahan sesuatu destinasi, sebaliknya turut dipengaruhi kemudahan pergerakan serta maklumat arah yang jelas ketika mengunjungi lokasi berkenaan.
Beliau berkata, gabungan perkhidmatan pengangkutan yang mudah diperoleh dengan penyediaan panduan maklumat di lokasi menerusi kempen itu dijangka meningkatkan keselesaan dan keterhubungan perjalanan pelancong tempatan serta antarabangsa.
Inisiatif tersebut juga selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih lancar dan berkualiti di seluruh negara.
Kempen “Jelajah Bersama Maxim” memberi penekanan kepada tiga aspek utama, iaitu aksesibiliti, kemudahan dan kelancaran mobiliti.
Pelaksanaan secara berperingkat itu turut membolehkan kedua-dua pihak menilai keberkesanan program di lokasi permulaan sebelum mengenal pasti peluang penambahbaikan serta kawasan lain yang berpotensi menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Maxim mula beroperasi di Malaysia pada 2019 dengan tempahan pertamanya diselesaikan di Kuantan, Pahang.
Sejak itu, syarikat berkenaan terus mengembangkan perkhidmatannya sehingga meliputi semua negeri di Malaysia, selain membangunkan teknologi bagi urusan tempahan pengangkutan, penghantaran dan perkhidmatan lain.
Aplikasi Maxim digunakan oleh pelanggan untuk membuat tempahan, manakala aplikasi Taxsee Driver disediakan bagi membolehkan pemandu menerima dan melaksanakan tempahan perkhidmatan.
Menerusi kempen terbaharu ini, Maxim berharap dapat terus memainkan peranan dalam memperkukuh sektor pelancongan negara, merancakkan aktiviti pelancongan domestik serta membantu mempromosikan kepelbagaian destinasi menarik Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026–2027. – DRP
