SEMPORNA: Seramai 100 pelajar maahad tahfiz menerima sumbangan naskhah al-Quran dan saguhati dalam satu majlis keagamaan yang berlangsung di Masjid Ar-Rahman, Semporna.
Majlis tersebut turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Hj. Mohd. Arif, yang meluangkan masa menunaikan solat Subuh secara berjemaah bersama masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan sesi tadarus al-Quran sebelum diteruskan dengan solat Subuh yang dipimpin Imam Masjid Negeri, Ustaz Suhaidi.
Pengisian rohani kemudian diteruskan menerusi tadabbur Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Julfikar Abd. Mijan.
Dalam majlis berkenaan, Mohd. Arifin turut menyempurnakan penyampaian 100 naskhah al-Quran berserta saguhati kepada 100 pelajar maahad tahfiz sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh pendidikan dan penghayatan al-Quran dalam kalangan generasi muda.
Turut menghadiri program itu ialah Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Ramlan Awang Ali; serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Assalam Haji Omar.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam menyemarakkan aktiviti keagamaan serta menyokong golongan pelajar tahfiz menerusi pendekatan kebajikan dan pengukuhan ilmu al-Quran. – DRP
