SEREMBAN: Seramai 14 individu terselamat selepas bas yang dinaiki mereka terbakar berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Senawang arah selatan, tengah hari semalam.
Menurut laporan Berita RTM menerusi hantaran di Facebook, kejadian itu melibatkan 13 warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang pemandu bas yang berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan berkenaan tiba-tiba terbakar. Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan bahawa kebakaran tersebut menyebabkan kira-kira 85 peratus bahagian bas musnah.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 12.20 tengah hari sebelum operasi pemadaman diselesaikan sepenuhnya pada jam 1.19 tengah hari.
Walaupun kejadian itu mengakibatkan kerosakan besar terhadap bas berkenaan, tindakan menyelamatkan diri dengan segera memastikan kesemua penumpang dan pemandu terselamat. – DRP
