Editorial
KUNAK: Seramai 984 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada tiga sekolah menengah di daerah ini menerima sumbangan alat tulis bagi membantu persiapan menghadapi peperiksaan.
Sumbangan berupa pen, pensel, pemadam dan keperluan alat tulis lain itu disampaikan menerusi inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Dato’ Sri Dr Anil Sandhu, dengan mengarahkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang diketuai Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) melaksanakan penyerahan berkenaan pagi ini.
Tiga sekolah yang menerima sumbangan itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, SMK Kunak dan SMK Kunak Jaya.
Daripada keseluruhan penerima, seramai 662 calon akan menduduki peperiksaan SPM manakala 322 calon lagi merupakan calon STPM.
SMK Madai mencatatkan 202 calon SPM dan 101 calon STPM, diikuti SMK Kunak dengan 245 calon SPM serta 112 calon STPM.
Sementara itu, SMK Kunak Jaya mempunyai 215 calon SPM dan 109 calon STPM.
Menurut Anil, inisiatif sumbangan alat tulis itu dilaksanakan sebagai alternatif kepada pemberian makanan yang lazimnya diadakan sebelum ini, namun tidak dapat diteruskan tahun ini berikutan pekeliling dan ketetapan yang dikeluarkan.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat memberikan manfaat kepada pelajar serta membantu meringankan keperluan mereka dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar semua calon diberikan ketenangan, dipermudahkan segala urusan dan memperoleh keputusan cemerlang hasil usaha serta pengorbanan sepanjang tempoh pembelajaran-DRP
