OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah sudah menghantar pulang 10,498 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal masing-masing menerusi 221 siri pemindahan sejak awal tahun ini.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, menerusi tiga siri pemindahan terbaharu semalam, seramai 480 tahanan dari empat negara dihantar pulang melalui laut dan udara.
“Kumpulan terbesar membabitkan 419 warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau yang dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
“Seramai 273 lelaki dewasa, 102 wanita dewasa, 24 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan berusia antara lima bulan hingga 62 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 50 warga Indonesia dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dihantar pulang ke Nunukan melalui Pelabuhan Tawau, bagi pemindahan kedua.
Katanya, individu yang dihantar terdiri daripada 36 lelaki dan 12 wanita dewasa serta dua kanak-kanak perempuan yang diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Sementara itu, 10 lelaki dewasa warga Pakistan dan seorang wanita dewasa warga Taiwan dari Depot Imigresen Sandakan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal masing-masing.
“Kita berharap dapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina dan Indonesia bagi mempercepat proses pengesahan identiti tahanan termasuk pengeluaran dokumen perjalanan dan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) supaya tahanan dapat dihantar pulang segera mengikut perancangan,” jelasnya.-DRP
