KOTA KINABALU, 27 November 2026 – Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah terus mempergiat usaha memperkasa golongan wanita di negeri ini dengan memberi penekanan kepada usaha menterjemahkan pencapaian dalam bidang pendidikan kepada kemajuan ekonomi, kerjaya serta penglibatan lebih besar dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan.
Bagi merealisasikan hasrat itu, IDS Sabah bakal menganjurkan Forum Wanita Sabah Merentas Generasi 2026 pada 2 Disember ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Forum yang mengangkat tema “Daripada Potensi kepada Impak: Wanita Sabah Memacu Masa Hadapan” itu dijangka menghimpunkan penyertaan wanita daripada pelbagai peringkat generasi, sektor pekerjaan dan latar belakang bagi membincangkan cabaran serta mengenal pasti pendekatan terbaik dalam memperkukuh pembangunan wanita di Sabah.
Pengerusi IDS Sabah, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata penganjuran forum berkenaan bertujuan membawa hasil penyelidikan berasaskan bukti kepada tindakan yang lebih praktikal, bersasar dan mampu menunjukkan hasil yang boleh dinilai.
Menurutnya, perbincangan itu turut membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk menyumbang idea serta merangka pendekatan yang bersesuaian bagi meningkatkan keupayaan dan peranan wanita Sabah merentas generasi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts Dr Ramzah Dambul, berkata wanita mempunyai sumbangan besar terhadap pembangunan sosioekonomi negeri menerusi penglibatan dalam sektor pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, perkhidmatan awam, korporat, kepimpinan masyarakat dan pembangunan institusi keluarga.
Beliau berkata, berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) Sabah 2023, negeri ini merekodkan skor keseluruhan 0.715, lebih tinggi berbanding purata kebangsaan sebanyak 0.705.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat ketidakseimbangan antara pencapaian pendidikan wanita dengan penglibatan mereka dalam sektor ekonomi dan jawatan kepimpinan.
Jelasnya, nisbah enrolmen pendidikan tertiari wanita berbanding lelaki mencatatkan 1.889, namun nisbah penyertaan wanita dalam tenaga buruh hanya 0.673. Bagi kategori penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus pula, nisbah yang direkodkan ialah 0.407.
Menurut Ramzah, angka berkenaan memperlihatkan bahawa kelebihan wanita dalam bidang pendidikan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan penyertaan ekonomi, perkembangan profesional dan penglibatan dalam kedudukan strategik.
Forum berkenaan akan menampilkan dua pengisian utama, iaitu Forum Perdana bertajuk “Wanita Sabah: Daripada Potensi kepada Impak” serta Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) dengan tema “From Evidence to Action: Memperkasa Wanita Sabah Merentas Generasi”.
Perbincangan kumpulan fokus itu akan memberi perhatian kepada empat bidang keutamaan.
Bidang pertama ialah penglibatan wanita dalam tenaga kerja, termasuk usaha membantu graduan wanita mendapatkan pekerjaan, menyediakan peluang kepada wanita yang ingin kembali bekerja, memperbaiki padanan pekerjaan, meningkatkan kemahiran serta mewujudkan suasana kerja yang lebih mesra wanita.
Bidang kedua memberi tumpuan kepada keusahawanan wanita melalui penambahbaikan akses pembiayaan, penguasaan kemahiran perniagaan, penggunaan teknologi digital, pengukuhan hubungan industri dan pembukaan peluang pasaran yang lebih luas.
Bidang ketiga pula menekankan peningkatan penyertaan wanita dalam kepimpinan, khususnya bagi menggalakkan lebih ramai wanita mengisi jawatan pengurusan kanan serta menerajui organisasi dalam sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat, politik, profesional dan komuniti.
Sementara itu, bidang keempat mengetengahkan aspek pementoran dan pewarisan pengalaman menerusi inisiatif “Pengalaman Tidak Bersara”, yang menggalakkan golongan pesara, pemimpin berpengalaman serta profesional wanita berkongsi pengetahuan dan kepakaran sebagai mentor serta penasihat kepada generasi lebih muda.
Penganjuran forum itu turut seiring dengan matlamat Kajian Rangka Tindakan Wanita Sabah 2026–2035 yang memberi penekanan kepada peningkatan penyertaan ekonomi, pembangunan keusahawanan, pengukuhan kepimpinan wanita serta kerjasama strategik antara pelbagai pihak berkepentingan.
Selain itu, program berkenaan akan menyaksikan pengenalan Portal Wanita Women’s Leadership Initiative Committee (WLIC) sebagai sebahagian daripada usaha memperluas inisiatif berkaitan kepimpinan wanita.
Ramzah turut mengajak agensi kerajaan, pemain industri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik dan pemimpin komuniti untuk mengambil bahagian dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap penganjuran forum itu dapat memperkukuh kedudukan wanita sebagai antara rakan penting dalam memacu kemajuan dan pembangunan negeri Sabah.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyertaan boleh menghubungi urus setia pendaftaran, Sarah J. Marican atau Faezah Hassan menerusi e-mel sarah.marican@ids.org.my dan faezah.hassan@ids.org.my.
Pertanyaan juga boleh dibuat melalui talian 088-450500 atau 016-8351280. – DRP
