KOTA KINABALU: Sabah Electricity berjaya menyelesaikan fasa pertama kerja-kerja pendirian menara sementara menerusi sistem Emergency Restoration System (ERS) di lokasi menara penghantaran T313, petang tadi.
Menurut hantaran Facebook rasmi Sabah Electricity Careline pada jam 6.28 petang, pasukan teknikal kini akan meneruskan fasa kedua kerja pemasangan menara sementara berkenaan.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah pemulihan laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.
Sabah Electricity memaklumkan, kerja-kerja pemulihan akan diteruskan dengan memastikan aspek keselamatan anggota teknikal menjadi keutamaan pada setiap peringkat pelaksanaan.
Pihaknya turut menegaskan komitmen untuk mempercepatkan usaha memulihkan bekalan elektrik serta memohon maaf kepada pengguna atas segala kesulitan yang dialami sepanjang proses berkenaan.-DRP
