KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.7 Samariang selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Kemenangan itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Samariang, Rudzamir Malek kira-kira jam 10.12 pagi selepas tiada calon lain mengemukakan kertas penamaan untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Sharifah Hasidah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) tiba di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Taman Sukma kira-kira jam 8.42 pagi.
Beliau hadir bersama pencadang, Sulhie Salleh dan penyokong, Patong Medin, selain disambut kira-kira 1,000 penyokong termasuk suaminya, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.-DRP
