ASAJAYA: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Asajaya selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, hari ini.
Pengisytiharan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jerry Zannuddin Bidin selepas proses penamaan calon dan pengesahan dokumen selesai di Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Abang Ikhwan Zaini.
Abdul Karim merupakan calon tunggal yang layak bertanding bagi kerusi berkenaan, sekali gus membolehkannya mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya tanpa melalui proses pengundian.
Kemenangan itu membolehkan beliau meneruskan khidmat untuk penggal keenam berturut-turut selepas mula mewakili kawasan berkenaan pada 2001.-DRP
