KAJANG: Tiga lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi menyamun sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Bandar Teknologi Kajang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.23 petang, 27 November 2026.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit menggunakan senjata berkenaan ketika melakukan samun sebelum melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal.
Menurutnya, jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam siasatan.
Polis kini giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap semua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Nabil Aizat menerusi talian 013-6232713 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-DRP
