TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah memberi bayangan calon baharu daripada partinya bakal menggantikan penyandang sedia ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah Ke-17.
Katanya, calon berkenaan sudah dikenal pasti dan hanya menunggu masa sesuai untuk diumumkan secara rasmi oleh kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Calon sudah ada, cuma menunggu pengumuman. Ramai tanya adakah saya atau anak saya? Tidak. Saya bukan pemimpin rakus, saya tahu kehendak rakyat, itu yang utama,” katanya selepas Majlis Ucapan Syukur Pewartaan Kampung Sentosa Blok 4, semalam.
Beliau menegaskan pemilihan calon berpaksikan semangat demokrasi dan keseimbangan kaum.
“Dulu penyandang adalah kaum Bugis dan wanita. Kali ini sama juga wanita, Bugis dan Melayu.
“Saya pemimpin Cina, tapi calon tidak semestinya Cina. Kita parti demokrasi, bukan parti kaum,” katanya.
Ditanya mengenai kedudukan penyandang DUN Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, Liew berkata keputusan menukar atau mengekalkan calon dibuat jawatankuasa parti.
“Kalau jawatankuasa putuskan tukar, kita ikut. Kalau kekal, yang sedia ada kena bersabar, mungkin ada jawatan lain,” katanya.
Beliau yakin Harapan Rakyat dan GRS masih mendapat sokongan rakyat.
“Rumah SMJ sudah ramai rakyat terima manfaat, tanah digazet untuk rakyat ini kali pertama kerajaan berani buat begitu. Jelas GRS utamakan rakyat,” katanya.
Liew menyeru pengundi Kukusan supaya tidak terpengaruh fitnah. “Jangan berpecah lagi. Bila kita bersatu, pembangunan sampai ke semua tempat,” katanya.
Beliau juga terbuka membantu calon Pakatan Harapan di DUN Merotai jika mampu membawa perubahan positif.
“Kalau calon itu boleh bawa perubahan kepada orang kampung saya, kenapa tidak? Semua yang saya buat anggap sedekah untuk rakyat.
“Kalau menang di Merotai, saya akan kerja lima tahun untuk buat perubahan,” katanya.
