TENOM: Kerajaan Negeri mengeluarkan hampir 40 ribu ekar tanah daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industry untuk dijadikan rizab kampung bagi memenuhi keperluan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, langkah mewartakan tanah berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan penduduk luar bandar. Beliau berkata usaha itu diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu dan menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Hajiji menjelaskan tanah milik syarikat berkaitan kerajaan turut diberikan kepada rakyat bagi memastikan mereka dapat hidup lebih selesa. Di bawah program kebajikan negeri, jumlah penerima bantuan meningkat daripada hanya 30 ribu kepada 70 ribu orang sejak GRS mengambil alih pentadbiran.
Beliau turut menegaskan Sabah kini meraih manfaat lebih besar daripada Perjanjian Kerjasama Komersial bersama PETRONAS yang membuka ruang luas kepada penglibatan vendor tempatan dalam industri minyak dan gas. Setakat ini lebih 80 vendor tempatan aktif dalam sektor perkhidmatan dan peralatan OGSE berbanding hanya 10 vendor pada tahun 2022.
Hajiji berkata kerajaan pimpinannya memilih fokus pembangunan melalui Hala Tuju SMJ 1.0 tanpa terjebak dalam politik dendam seperti yang didakwanya dilakukan pembangkang. Katanya jika rakyat memberikan semula mandat kepada GRS, pembangunan akan diteruskan menerusi Hala Tuju SMJ 2.0 dengan agenda yang lebih menyeluruh.
Dalam pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Kemabong, Hajiji turut mengesahkan Datuk Rubin Balang sebagai calon GRS bagi kerusi Kemabong dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke 17 pada 29 November ini. Hajiji yakin Rubin mampu mengekalkan kemenangan dengan sokongan jentera parti dan pengundi setempat.
