TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan bahawa perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan untuk menyelamatkan pemimpin, sebaliknya menumpukan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negeri.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penubuhan GRS lahir daripada kesedaran pemimpin tempatan bagi memastikan Sabah ditadbir berasaskan keperluan sendiri, bukannya dipengaruhi politik luar.
“Sebagai antara individu yang terlibat dalam pembentukan GRS, saya boleh katakan perjuangan ini bukan kerana kepentingan peribadi mana-mana pemimpin.
“Kita tubuhkan GRS kerana kesedaran untuk menjaga rumah kita sendiri dan Sabah,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Rumah Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah, di Tawau, hari ini.
Menurutnya, semangat ‘Sabah tanah airku’ menjadi asas utama tindakan pemimpin yang kini bersama GRS selepas meninggalkan parti lama.
“Kita sedar rakyat Sabah perlukan kepimpinan yang benar-benar memahami kehendak dan cabaran tempatan.
“Sebab itu ramai pemimpin membuat keputusan untuk bersama GRS, kerana asas perjuangan jelas iaitu menjaga kepentingan rakyat dan negeri ini,” katanya.
Dalam majlis sama, Nizam mengucapkan tahniah kepada Persatuan Pandu Puteri Tawau atas kejayaan membina bangunan sendiri hasil usaha dan komitmen ahli-ahlinya.
“Usaha ini wajar dijadikan contoh kepada organisasi lain. Ada ahli-ahli muda Pandu Puteri sendiri mengumpul dana melalui aktiviti kemasyarakatan untuk menjayakan pembinaan bangunan ini. Ini membuktikan semangat juang dan komitmen yang tinggi.
“Saya berharap Pandu Puteri Tawau akan terus melangkah ke hadapan dalam melahirkan wanita muda berintegriti, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada kecemerlangan negeri dan negara,” tambahnya.
