Dr Elmiariezan (kanan) bersama Jumardi selepas pengumuman calon petang tadi.
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Tawau menzahirkan rasa bangga dengan pemilihan Bendahari Pemuda UMNO Tawau, Dr Elmiariezan Ardan, sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Naib Ketua Pemuda UMNO Tawau, Jumardi Sakka, berkata pemilihan Dr Elmiariezan merupakan satu penghormatan besar kepada jentera Pemuda di kawasan itu kerana beliau bukan sahaja anak jati Tawau, malah tokoh muda profesional yang aktif memperjuangkan agenda parti dan rakyat.
“Pemuda UMNO Tawau amat berbangga dengan pengumuman ini. Dr Elmiariezan bukan sahaja seorang doktor perubatan, tetapi juga pemimpin muda yang rajin turun padang, memahami rakyat dan sentiasa terlibat dalam aktiviti kebajikan.
“Beliau antara wajah baharu yang membawa semangat dan idea segar untuk memperkukuh perjuangan BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemilihan itu jelas menunjukkan keyakinan pucuk pimpinan terhadap kemampuan golongan muda untuk memainkan peranan penting dalam politik Sabah.
“Ini bukti UMNO dan BN tidak meminggirkan generasi muda. Mereka diberi peluang memimpin, bukan sekadar menyokong.
“Dr Elmiariezan ialah lambang anak muda Tawau yang berwawasan dan mampu membawa aspirasi baharu kepada rakyat,” katanya.
Jumardi berkata, seluruh jentera Pemuda UMNO Tawau akan turun membantu kempen pilihan raya nanti bagi memastikan kemenangan BN di DUN Apas.
“Kami akan bekerja sepenuh tenaga. Dr Elmiariezan mempunyai kelebihan kerana beliau dekat dengan masyarakat, tahu masalah setempat dan sentiasa bersikap terbuka.
“Kami yakin rakyat DUN Apas akan memberi sokongan padu kepada calon muda yang berwibawa ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru pengundi muda agar terus bersatu menyokong calon tempatan yang memiliki visi jelas untuk membangunkan kawasan Apas.
“Dr Elmiariezan bukan sekadar calon parti, tetapi anak Tawau yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat. Beliau layak membawa suara generasi baharu di Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Terdahulu, pencalonan Dr Elmiariezan diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang turut menekankan bahawa penyertaan dua doktor perubatan dalam senarai calon kali ini mencerminkan komitmen BN terhadap nilai profesionalisme, integriti dan kepakaran dalam barisan kepimpinan negeri.
