Hajiji (kanan) menerima kunjungan Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Bapak Noorman
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu yang baharu dilantik, Bapak Noorman Effendi, di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada Noorman atas pelantikannya dan berharap hubungan diplomatik serta kerjasama dua hala antara Sabah dan Republik Indonesia terus diperkukuh.
Menurutnya, kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan, pendidikan dan tenaga kerja perlu diteruskan serta diperluas bagi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kita mahu hubungan baik ini terus diperkukuh, bukan sahaja antara kerajaan tetapi juga antara rakyat kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” katanya.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh usaha memperkukuh jaringan hubungan rakyat dengan rakyat antara Sabah dan wilayah-wilayah di Indonesia yang mempunyai persamaan dari segi geografi dan budaya.
Pertemuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Sabah dalam mempererat hubungan serantau, khususnya dengan negara jiran yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri.
