PAPAR: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun bagi membantu siasatan berhubung tiga insiden membabitkan bahan keagamaan di dua rumah ibadat sekitar daerah ini sejak September lalu.
Suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pekan Kimanis kira-kira jam 4 petang hari ini, hasil risikan dan siasatan polis berhubung kejadian yang dilaporkan pada 17 September serta dua insiden semalam.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Infinix dan kereta Proton Saga FLX yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
Menurutnya, telefon bimbit berkenaan dipercayai mengandungi rakaman video berkaitan perbuatan membakar bahan keagamaan.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menentukan penglibatan suspek dalam ketiga-tiga kejadian serta mengenal pasti motif sebenar.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Heryan berkata, kejadian pertama dilaporkan pada 17 September lalu di sebuah rumah ibadat di Kelatuan apabila sehelai selendang bertulis slogan tertentu ditemukan dililit pada simbol keagamaan di premis berkenaan.
Dalam kejadian kedua kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, sebanyak 18 cebisan kertas mengandungi tulisan Jawi dan tiga cebisan bendera Sabah ditemukan di lokasi sama.
Sementara itu, kejadian ketiga dilaporkan kira-kira jam 4 petang semalam apabila beberapa helaian bahan keagamaan yang dikoyakkan ditemukan bertaburan di jalan raya berhampiran sebuah rumah ibadat di Kimanis.
Beliau berkata, polis memandang serius sebarang perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi, khususnya di media sosial.
“Polis memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus, profesional dan menyeluruh.
“Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
