LAHAD DATU: Calon Parti Warisan bagi Dewan Undangan (DU) Silam, Datuk Dr. Mohd Yusof Apdal menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa beliau tidak mampu menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah(PRU) kali ini.
Yusof menyifatkan dakwaan ini sebagai cubaan untuk mengelirukan pengundi dan pihak yang membuat dakwaan itu jelas tidak mengenali kemampuan beliau sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan ini.
“Mereka tidak kenal saya. Lima tahun saya jadi ADUN di sini. Rekod saya ada dan masyarakat tahu bagaimana saya bekerja. Saya sentiasa berada di kawasan dan berkhidmat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ceramah santai bersama masyarakat Tionghua di Palm Height, malam tadi.
Beliau berkata, dakwaan itu timbul berikutan pihak lawan kehabisan isu untuk menyerangnya.
“Mereka tiada isu… Mereka cuba mempengaruhi rakyat, tetapi kali ini rakyat tidak semudah itu untuk diperbodohkan. Orang Sabah sekarang bijak menilai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yusof menegaskan bahawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah menjadi teras perjuangan Parti Warisan.
“Mereka (pihak lawan) tidak berani janji untuk kembalikan peratus kepada Sabah. Warisan meletakkan perkara ini sebagai asas perjuangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat memberikan mandat kepada Parti Warisan sekiranya mahu hak tersebut dikembalikan kepada negeri.
Yusof menegaskan PRU kali ini bukan sekadar proses demokrasi, tetapi perjuangan menentukan masa depan Sabah.
“Ini perjuangan menuntut hak. Saya ajak semua rakyat Sabah di mana pun mereka berada, mari kita jadikan ia kenyataan. Undilah Parti Warisan,” katanya.
TAMAT
