LAHAD DATU: Sokongan terbuka golongan belia terhadap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Datuk Mizma Appehdullah, mencerminkan aspirasi generasi muda untuk melihat suara mereka diberi perhatian dalam pembangunan kawasan.
Mizma berkata, penglibatan aktif belia dalam kempen pilihan raya menunjukkan kesedaran mereka terhadap proses demokrasi tempatan dan keyakinan terhadap kepimpinan GRS.
“Mereka menganggap saya seperti seorang kakak yang sentiasa memberi sokongan dan nasihat agar menjauhi aktiviti yang tidak berfaedah.
“Mereka sendiri menghubungi saya untuk menunjukkan sokongan, supaya belia lain tahu bahawa saya mampu membawa suara anak muda,” katanya ketika ditemui pada program Walkabout di Taman Fajar, Khamis.
Ketua Bahagian PGRS Silam itu berkata, sokongan tersebut menggambarkan keinginan belia memilih pemimpin yang bukan sahaja mendengar pandangan mereka, tetapi juga memperjuangkannya di peringkat negeri.
Beliau berkata, golongan belia kini membentuk kumpulan pengundi terbesar, menjadikan peranan mereka penting dalam mencorakkan masa depan kawasan.
Peranan belia boleh diperkukuh melalui penyediaan peluang pekerjaan, latihan serta ruang pembangunan ekonomi mengikut keperluan mereka. Ini antara agenda yang diperjuangkan GRS.
“Kita yakin sekiranya kerajaan GRS diteruskan, lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda dapat diwujudkan,” katanya.
Sebagai salah seorang calon wanita dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah kali ini, Mizma menegaskan kepentingan keterlibatan wanita dalam kepimpinan bagi memperluas perspektif pembangunan.
Beliau berkata, ramai wanita mahukan pemimpin yang memahami keperluan mereka dan mampu membawa isu berkaitan ke peringkat pembuat dasar.
“Saya percaya keupayaan wanita memimpin memberi nilai tambah kerana kami dekat dengan isu keluarga, sosial dan pendidikan yang menjadi teras kesejahteraan masyarakat.
“Pemerkasaan wanita memerlukan program, peruntukan dan sokongan berterusan agar mereka dapat berkembang,” katanya.
Mizma optimis bahawa sokongan belia dan wanita akan menjadi kekuatan penting dalam membentuk masa depan Silam yang lebih inklusif.
— TAMAT
